Tuesday, November 18, 2008

PANDANGAN ISLAM TERHADAP 'COUPLE'

Para penentang couple cara islam (islamic couple) berlandaskan dalil. Para pendukung islamic couple pun berdasarkan dalil. Manakah dalil yang lebih kuat antara keduanya?

Pada umumnya, penentang budaya couple mengemukakan dalil-dalil:


1)Mendekati zina itu terlarang.


2)Menikah itu dianjurkan.


3)Tanazhur pra-nikah itu dianjurkan. (Adapun taaruf pra-nikah tidak ada dalilnya.)

Kuatkah dalil-dalil tersebut? Ya dan tidak. Dalil-dalil tersebut cukup kuat bila dihadapkan dengan couple non-islamic, tetapi lemah bila dihadapkan dengan couple islamic. Letak kelemahannya adalah penempatannya yang tidak pada tempatnya.

Mengapa boleh kita katakan bahwa dalil-dalil tersebut tidak pada tempatnya? Sebabnya:



1)couple islamic tidak mendekati zina. Bahkan, couple pada umumnya pun tidak identik dengan “mendekati zina”.


2)Couple islamic justru melapangkan jalan untuk menikah dengan sebaik-baiknya, digunakan untuk membangunkan rumah tangga yang sakinah, mawaddah, wa rahmah.


3)couple islamic justru mengupayakan peningkatan kualiti tanazhur pra-nikah.

Bagaimana dengan dalil yang dipegang oleh para pendukung couple islamic? Benarkah ada dalil yang menguatkan bolehnya couple islamic?

Sebahagian besar penentang couple islamic menyangka,kewujudan couple islamic tidak didukung dengan dalil sama sekali. Bahkan, mereka mengira, couple islamic ini merupakan bid’ah yang sesat dan menyesatkan. Padahal, seandainya mereka membaca dengan cermat buku-buku (dan artikel-artikel) couple cara islam, tentu mereka jumpai dalil-dalil yang menguatkan kewujudan couple islamic. Tiga diantaranya adalah sebagai berikut. (Dua dalil pertama bersifat umum, tidak hanya mengenai couple, sedangkan dalil ketiga jelas-jelas mengenai couple.)

1.Mengenai hubungan antar manusia, pernah Rasulullah saw. bersabda: “Segala yang tidak ditegah (dalil jelas) itu tergolong dalam hal-hal yang dibolehkan-Nya.” (Shahih al-Jami’ ash-Shaghir, hadits no. 3190) Kerana couple tidak ditegah dalam Al-Qur’an, kehalalannya tidak mustahil.

Kalau mengikut kaedah yang diguna pakai oleh Yusuf Qardawi dalam bukunya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (Halal dan haram dalam Islam) menyatakan:

“DASAR pertama yang ditetapkan Islam, ialah: bahwa asal sesuatu yang dicipta Allah adalah halal dan mubah. Tidak ada satupun yang haram, kecuali karena ada nas yang sah dan tegas dari syari’ (yang berwenang membuat hukum itu sendiri, yaitu Allah dan Rasul) yang mengharamkannya. Kalau tidak ada nas yang sah –misalnya karena ada sebagian Hadis lemah– atau tidak ada nas yang tegas (sharih) yang menunjukkan haram, maka hal tersebut tetap sebagaimana asalnya, yaitu mubah.



2. Nabi saw. bersabda, “Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu.” (HR Muslim) Hadits inilah yang menjadi dasar kaidah ushul fiqih yang menyatakan bahwa pokok hukum dalam urusan muamalah adalah sah (halal), sampai ada dalil (yang qath’i) yang membatalkan dan mengharamkannya. Dengan kata lain, selama tidak ada dalil yang dengan tegas mengharamkannya, maka hukumnya tidak haram. Begitu pula perihal couple.


3.Pada kenyataannya, budaya couple (percintaan pra-nikah) sudah ada pada zaman Rasulullah. Adakah dalil dari rasulullah yang mengharamkannya? Ternyata, beliau sama sekali tidak pernah menyuruh para sahabat untuk tidak bercinta pra-nikah. Beliau tidak pernah mengharamkan couple. Bahkan, sewaktu menjumpai fenomena couple, baginda tidak sekadar membiarkan fenomena ini. Baginda bersimpati kepada pelakunya dan justru mencela sekelompok sahabat yang memandang rendah pasangan tersebut. Baginda menyindir, “Tidak adakah di antara kamu orang yang penyayang?” (HR Thabrani dalam Majma’ az-Zawâid 6: 209)

Jadi, dalil-dalil para pendukung islamisasi couple lebih kuat daripada dalil-dalil para penentang couple islamic. Mudah-mudahan dengan penjelasan ini, kita tidak lagi membuang tenaga untuk berdebat mengenai halal-haramnya couple. Sudah saatnya kita lebih berkonsentrasi pada bagaimana couple secara islam. Islam tidak kejam dan tidak cenderung menghukum tetapi Islam meletakkan alternatif dan garis panduan. Wallaahu a’lam.

Monday, November 17, 2008

APABILA USTAZ-USTAZ DARI GOLONGAN LEMAH MINDA

Dialog yang biasa dalam masyarakat melayu:

Isteri: Bang, anak kita si Saleh tu terlalu lemah la dalam pelajaran. Doktor pun kata IQ dia lemah dan keputusan peperiksaan banyak yang gagal terutamanya matematik dan sains. Tapi dia pandai menghafal.

Suami: Apa nak jadi la dengan anak kita tu. Perangai baik tapi IQ rendah. Apa kita nak buat?

Isteri: Apa kata kita hantar dia ke sekolah pondok. Kalau dia pandai menghafal bagi dia belajar agama je lah. Hati kita pun sejuk je kan bang?

Suami: Betul juga tu. Itu cadangan yang baik. Nanti kita hantar dia ke sekolah pondok ya.

Maka belajarlah si Saleh di sekolah pondok dan melanjutkan pengajian agamanya ke peringkat lebih tinggi. Maka lahirlah seorang ustaz yang rendah IQ nya.


Golongan Agama Yang Lemah


Dalam sejarah Islam, golongan agama adalah tonggak kepada kebangkitan umat. Islam yang syumul telah membentuk pemikiran para ulama agar kritis, maju dan membangun. Golongan ulama yang berkualiti ini terus wujud di sepanjang zaman. Namun jumlah dan penguasaan mereka berbeza dari satu zaman ke satu zaman. Jumlah para ulama yang berkualiti seperti yang disebut dalam hadith ini adalah kurang:

“Akan selalu membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil” (Hadith ini hasan. Para ulama berkhilaf pendapat mengenai kedudukan hadith ini. Sebahagian mereka mensahihkan, sebahagian mendhaifkannya. Ibn al-Qayyim dalam Miftah Dar al-Sa‘adah menyatakan hadith ini thabit. Beliau menghimpunkan jalan-jalan periwayatan hadith. Beliau turut menyebut kata-kata al-Imam Ahmad: “Ia hadith sahih” (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Miftah Dar al-Sa‘adah, m.s 227-229, Saudi: Dar Ibn Hazm). ‘Ali Hasan al-Halabi menilai hadith ini sebagai hasan disebabkan jalan periwayatan yang banyak. (Sadiq Hasan Khan, Al-Hittah fi Dhikr al-Sihah al-Sittah, tahqiq: ‘Ali Hasan al-Halabi, Beirut: Dar al-Khail). Demikian Salim bin ‘Id al-Hilali menyatakan hadith ini hasan. Bahkan beliau menulis buku khas menerangkan kesabitan hadith tersebut (lihat: Salim bin ‘Id al-Hilali, Limadha Akhtartu al-Manhaj al-Salafi, m.s. 63 Saudi: Dar Ibn al-Qayyim (2000)

Walaupun wujud, tetapi tidak ramai. Mungkin juga banyak ulama seperti itu, dan pengikut mereka juga ramai, namun secara nisbah jumlah umat yang wujud, mereka masih dianggap kecil.

Kata Muhammad Qutb ketika membincangkan tentang kemunduran ilmu, tamadun, ekonomi pemikiran dan budaya di Dunia Islam: “Dari sudut yang lain, dijumudkan ilmu-ilmu syarak dalam bentuk yang dipelajari sebelum lima kurun lalu - sekurang-kurangnya-. Ditambah dengan masuk ke dalamnya serangan pemikiran Greek dari ilmu kalam yang tidak berguna dan bermanfaat. Lebih dari itu ilmu kalam telah menukarkan pengajian akidah kepada perkara-perkara yang menyusahkan minda lagi tidak berguna dan memayahkan. Mengubah akidah dari inti kandungan yang hidup kepada isu-isu falsafah yang membawa kepada pertengkaran tanpa sebarangan natijah dan tujuan. Lebih daripada itu pelajar-pelajar agama telah bertukar menjadi para penghafal bukan pemikir. Seseorang pelajar kelihatan berilmu hanya dengan kadar apa yang dia hafal daripada teks, syarah dan nota kaki. Namun dia tidak dapat berfikir untuk dirinya dan tidak juga dapat berfikir secara sendiri. Maka para ulama kehilangan keaslian ilmu, jadilah mereka itu golongan taklid yang hanya memetik dari orang lain. Bahkan ditambah lagi keburukan ketiga, iaitu taksub mazhab yang mengenai keseluruhan para pelajar. Setiap orang taksub dengan mazhab yang dia membesar di dalamnya. Dia menjadikan kemuncak jihadnya untuk agamanya, semata-mata untuk membuktikan mazhab dan syeikhnya melebihi mazhab dan syeikh orang lain..”.( Muhammad Qutb, Waqi‘una al-Mu‘asir, m.s. 176.)

Golongan agama dikuasai oleh golongan yang lemah kemampuannya. Singkat pula penguasaannya terhadap nas-nas agama dan pengetahuan semasa. Golongan yang mempelajari agama bukan lagi terpilih. Sehingga orang melayu umpamanya, menganggap mana-mana anak yang kurang kemampuan akademik, dihantar ke pengajian agama atau pondok. Akhirnya lahirlah golongan ustaz dan tok guru yang lemah kekuatan minda dan analisanya.

Serentak dengan kekuatan kebendaan yang muncul di Barat, kekuatan institusi agama pula bertambah lemah. Pengajian agama dibentuk dengan begitu sempit dengan nilai-nilai taksub mazhab, lalu mereka membela mazhab melebihi dari membela Islam. Di samping mereka pula terpencil dari dunia akibat diracun pemikiran kesufian yang melampau dan terbabas, memusuhi perkara-perkara baru yang mereka jahil mengenainya. Ini seiras dengan tindakan gereja yang membawa kebangkitan Revolusi Industri atau Revolusi Perancis.

BETULKAN TANGGAPAN KITA MENGENAI MAZHAB

Contoh dialog biasa dalam masyarakat Melayu:

Si A: Kau nak tau tak Mazhab Maliki kata pegang anjing tak payah samak.

Si B: Ish kau ni, tu mazhab maliki. Kita mazhab syafie kene la ikut mazhab kita.

Si A: Tapi mazhab maliki tu ada hujah yang kuat.

Si B: Tapi kita tetap mazhab syafie.. Kau tak belajar agama ke?

Si A: Tapi Imam Malik guru kepada Imam Syafie!

Bukti bahawa pengasas mazhab melarang bertaklid (ikut bulat-bulat) kepada mereka:





Imam Abu Hanifah berkata: (mazhab hanafi)
“Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk berpegang pada perkataan kami, selagi ia tidak mengetahui dari mana kami mengambilnya.” (Ibnu Abdil Barr dalam Al-Intiqa’u fi Fadha ‘ilits Tsalatsatil A’immatil Fuqaha’i, hal. 145)

Imam Malik berkata: (mazhab maliki)
“Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia yang kadang salah dan kadang benar. Maka perhatikanlah pendapatku. Setiap pendapat yang sesuai dengan Kitab dan Sunnah, maka ambillah. Dan setiap yang tidak sesuai dengan Al Kitab dan Sunnah, maka tinggalkanlah.” (Ibnu Abdil Barr di dalam Al-Jami’, 2/32)

Imam ahmad bin Hambal berkata: (mazhab hambali)
“Janganlah engkau taqlid kepadaku dan jangan pula engkau mengikuti Malik, Syafi’i, Auza’i dan Tsauri, Tapi ambillah dari mana mereka mengambil.” (Al-Fulani, 113 dan Ibnul Qayyim di dalam Al-I’lam, 2/302)

Imam Asy-Syafi’i, beliau berkata: (mazhab syafie)
“Setiap masalah yang jika di dalamnya terdapat hadits shahih dari Rasulullah Shalallahu alaihi wa sallam menurut para pakar hadits, namun bertentangan dengan apa yang aku katakan, maka aku rujuk di dalam hidupku dan setelah aku mati.” (Al-Hilyah 9/107, Al-Harawi, 47/1)

Imam Syafie pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263).


Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).



Dari keempat-empat pernyataan terbuktilah bahawa mazhab yang empat melarang bertaklid (ikut bulat-bulat) kepada mereka jauh sekali mewajibkan mengikut mazhab mereka.

Kata Ulama mahsyur Dr Yusuf Qardawi:


Sikap taksub mazhab fekah begitu kuat dalam masyarakat kita, sehingga mereka enggan melihat pandangan-pandang luar mazhab mereka yang mungkin lebih kukuh dan bermanfaat. Kelompok agama jenis ini hanya berusaha agar pengikutnya tidak keluar, sekalipun terpaksa menolak dalil yang sahih. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syari`at dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabah sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah”.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwat al-Islamiyyat bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Madhmum, m.s 202,Kaherah: Dar al-Sahwat (1991)

GOLONGAN YANG MEMAYAHKAN HUKUM FIQH

Dipetik dari Dr. Asri (Mantan mufti perlis):


Golongan agama yang lemah inilah yang membesarkan fatwa ‘pintu ijtihad telah tertutup’ lalu mengharamkan segala pandangan baru, hanya kerana mereka jahil mengenainya. Bukan kerana ia bercanggah dengan agama. Golongan agama ini mengasingkan diri dari pentas pengetahuan moden. Mereka kelihatan kolot dan tidak mahu mengambil tahu dunia sekitar. Fatwa-fatwa agama lebih condong kepada pengharaman, sedangkan dalam agama asal sesuatu perkara bersifat mu’amalah adalah harus. Mereka pula menjadikan asal apa yang mereka tidak faham dan tidak tahu adalah haram. Hukum-hakam menjadi sempit. Perbincangan fekah yang diperdengarkan untuk generasi moden seakan untuk manusia pada 1000 atau 500 tahun yang lalu, agar senada dengan teks mazhab tanpa meraikan perkara-perkara yang berlaku dalam fekah. Mereka seakan manusia yang kehilangan kerja, lalu membahaskan masalah mudah menjadi payah. Soal wuduk sahaja disyarah hampir berbulan dengan andaian-andaian yang bukan-bukan. Sedangkan pendengar perlu berwuduk segera, lima kali sehari. Contoh yang lain ialah soal niat yang begitu mudah. Setiap amalan itu dengan niat. Namun ia dibahaskan dengan begitu payah. Diletakkan syarat-syarat yang bukan memudahkan, sebaliknya memayahkan. Persoalan bagaimana hendak melafazkan niatkan sahaja telah mengambil masa umat begitu lama dan berkesudahan dengan bertambah sukar dan was-was dalam solatnya.

Kata Ibn Taimiyyah (meninggal 728H):(Bahkan melafazkan niat itu adalah cacat pada akal dan agama. Adapun pada agama kerana ia adalah bid’ah . Adapun pada akal, kerana ia seperti orang yang hendak makan sesuatu makanan lalu berkata: “Aku berniat meletakkan tanganku pada bekas ini kerana aku hendak mengambil satu suap darinya, lalu aku letakkannya dalam mulutku, lalu aku kunyah kemudian aku menelannya supaya aku kenyang”. Sama seperti orang yang menyebut: “Aku niat bersolat fardu ini pada masuk waktunya, empat rakaat dalam jamaah, tunai kerana Allah”. Ini semua adalah bodoh dan jahil. Ini kerana niat adalah kesampaian pengetahuan. Apabila seseorang hamba Allah tahu apa yang sedang dia buat, maka dengan sendirinya dia telah berniat perkara itu. Tidak terbayang dengan wujud pengetahuan dalam akalnya, untuk dia melakukan tanpa niat. Tidak mungkin pula tanpa pengetahuan, terhasilnya niat. Telah sepakat para imam yang empat bahawa menguatkan suara dalam berniat dan mengulanginya tidak disyariatkan. Bahkan sesiapa yang terbiasa dengan itu hendaklah diberi hukuman (untuk mengajarnya) bagi menghalangnya melakukan ibadah secara bid’ah dan mengganggu orang ramai dengan mengangkat suara.( Ibn Taimiyyah, Al-Fatawa al-Kubra, 2/ 95. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyat (1987)

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: (Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was”. (http//:qaradawi.net)

Mereka lupa sifat agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Quran:

Firman Allah: (maksudnya): Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-‘Araf: 157)

Firman Allah: (maksudnya) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185)

Firman Allah: (maksudnya) Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah al-Nisa: 28)

BOLEH JAWAB SALAM NON-MUSLIM

Contoh dialog yang biasa di kalangan Masyarakat melayu:

Pada suatu hari Raju bertemu dengan Ahmad dan Abu. Raju amat menghormati agama Islam dan ramai kawan-kawannya beragama Islam.

Raju: Hi Ahmad! Assalamualaikum!

Ahmad: Waalaikumussalam

Abu: Weh Ahmad, ko ni buang tebiat ape jawab salam non-muslim. Sepatutnya kita kene jawab waalaikumu sam (kecelakaan keatas kamu). Kan ustaz ajar macam tu.

Ahmad: Kenapa pula dia bagi ucapan baik kat kita, kita nak balas ucapan buruk. Tak masuk akal.

Abu: Dah dalam Islam kene macam tu. Ikut la hukum.

Ahmad: Mana dalilnya?

Abu: Mana aku tahu. Tapi kita yang tak cukup ilmu ni kene la dengar cakap ustaz (taklid buta)



Ditulis oleh: Mufti kerajaan negeri Perlis

Apabila saya menyebut bahawa hendaklah kita menjawab salam ‘bukan muslim’ yang tidak memerangi Islam, ada kelompok ekstrimis yang membantah mati-matian. Alasan mereka senang sahaja; ‘kami tidak pernah dengar pun ada tok guru pondok kami ajar demikian’. Mereka ini jadikan seakan ilmu Islam keseluruhannya terkumpul di pondok-pondok yang pernah mereka belajar. Sesetengahnya ustaz pula telah mengharamkan diri dari membaca atau mentelaah apa yang tidak pernah disebut oleh mazhab nusantara atau generasi lama di tempatnya. Sumbangan pengajian pondok di rantau ini tidak boleh dinafikan. Namun sentimen tanpa hujah bukan ilmu yang diiktiraf dalam Islam.

Islam adalah agama yang sejahtera. Penampilan dan inti kandungannya adalah berteras kekukuhan nilai dan keindahan hakiki. Islam itu akan indah jika kita benar-benar jadikan teras kefahaman kita terhadapnya bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat golongan ‘ustaz’ bukan kesemuanya tepat dengan kedua sumber agung tersebut. Bukan semua yang dianugerahkan darjah kenamaan ‘ustaz’ menguasai tajuk yang dia mengajar atau memperkatakannya. Jika semua seiras dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah tentu tiada perselisihan pokok antara sesama ‘ustaz’.

Jika tidak, masakan ada ustaz-ustaz yang berlainan kumpulan politik dan sesat menyesatkan antara satu sama lain. Kesimpulannya, pandangan golongan agama boleh diterima dan ditolak. Hanya yang tidak boleh ditolak ialah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang mengemukakan hujah berteraskan kedua sumber agung itu dan menuruti kaedah kefahaman nas yang diakui oleh disiplin kesarjanaan, maka pendapat diiktirafnya. Jika tidak, ‘ustaz’ atau ‘tok guru’ atau ‘mufti’ bukan rasul yang diutuskan sehingga setiap kalimah dari mulut mereka dinilai dengan neraca kewahyuan.

Berbalik kepada isu salam, apakah kenyataan saya mengenai boleh menjawab salam kepada bukan muslim ini sesuatu yang baru direka, atau sesetengah golongan agamawan lebih cenderung kepada sentimen tempatan dan tidak terdedah kepada perbincangan ilmiah. Di sini saya petik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya yang terkenal Zad al-Ma’ad: “Telah berbeza pendapat para ulama salaf dan khalaf mengenai hukum memberi salam kepada Yahudi dan Kristian. Kata kebanyakan ulama tersebut: “tidak dimulakan ucapan salam kepada mereka”. Ulama yang lain berpendapat: “harus memulakan ucapan salam kepada mereka, seperti mana harus menjawabnya. Pendapat ini (kedua) diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Abu Umamah dan Ibn Muhairiz. Ia juga salah satu pendapat dalam Mazhab al-Syafi’i. Namun empunya pendapat ini dalam Mazhab al-Syafi’i menyatakan: Disebut Al-Salam ‘Alaika tanpa menyebut wa rahmat ALLAH, dan secara ifrad (untuk seorang sahaja). Segolongan ulama berpendapat: “Harus memulakan salam kepada Yahudi dan Kristian disebabkan kemaslahatan yang lebih utama yang diperlukan, atau bimbang tindakannya, atau hubungan kekeluargaan, atau apa-apa yang memerlukannya. Diriwayatkan pendapat ini dari Ibrahim al-Nakha’i dan ‘Alqamah. Kata al-Auza’i: “Jika engkau memberi salam kepada mereka (Yahudi dan Kristian), telah pun memberi salam kepada mereka golongan soleh. Jika engkau tidak memberi salam kepada mereka, telah pun tidak memberi salam kepada mereka golongan soleh yang lain”.

Sambung al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Para ulama berbeza pendapat tentang menjawab salam mereka. Mijoriti ulama berpendapat wajib menjawab. Inilah pendapat yang benar. Kata segolongan ulama tidak wajib menjawab..”

Kata al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Telah sabit dalam hadith, Nabi s.a.w lalu dalam satu majlis yang bercampur antara muslim, musyrikin penyembah berhala dan Yahudi, lalu baginda memberi salam untuk mereka semua”.(rujukan: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad, 2/425-426, Beirut: Muassasah al-Risalah 1990).

Al-Imam al-Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad di bawah tajuk Bab Kaif al-Radd ‘ala Ahl al-Zimmah (Bab Bagaimana Menjawab Salam Kafir Zimmi) meriwayatkan kata-kata Ibn ‘Abbas: “Jawablah salam sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini kerana ALLAH berfirman (maksudnya dari Surah al-Nisa ayat 86) Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (riwayat ini bertaraf ‘hasan’).

Dalam riwayat yang lain dalam al-Adab al-Mufrad juga di bawah bab Iza Kataba al-Zimmi Pasallama, Yuradd ‘Alaihi (Bab Apabila Kafir Zimmi Menulis Surat Dengan Memberi Salam, Maka Dijawab Salamnya). Dalam bab ini dimuatkan kisah yang sahih di mana Abu Musa al-Asy’ari menulis surat kepada seorang paderi lalu memberi salam dalam surat itu. Maka dia ditanya: Adakah engkau memberi salam kepadanya, sedangkan dia kafir?. Jawab Abu Musa: “Dia telah menulis surat kepadaku dengan memberi salam, maka akupun menjawabnya”.

Riwayat-riwayat yang seperti ini sepatutnya dibaca oleh para ustaz atau sesiapa yang ingin membicarakan tajuk ini sebelum menghukum sesuatu pandangan sebagai menyeleweng. Malangnya di negara ini, sesetengah golongan agama tidak menjadikan fakta sebagai teras perbincangan, sebaliknya sentimen guru tradisionalnya yang jadikan ukuran kebenaran.

Adapun hadith-hadith yang menyuruh dijawab ‘wa ‘alaika’ (ke atas kamu) terhadap salam Yahudi ialah disebabkan orang Yahudi pada zaman Nabi s.a.w apabila memberi salam menyebut as-samu ‘alaikum yang bermaksud: maut atau kemusnahan ke atas kamu. Mereka cuma mengelirukan pendengaran orang Islam. Justeru itulah Nabi s.a.w menyuruh dijawab dengan ungkapan ‘wa alaikum’ sahaja. Perkara ini jelas disebut dalam hadith baginda: “Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka dengan ini jelas hadith ini mempunyai Sabab al-Wurud (sebab terbentuknya sesuatu hadith) yang tersendiri. Iaitu ia merujuk kepada suatu kejadian atau keadaan yang mana orang Yahudi memberikan ucapan salam secara mainan dan sendaan dengan diubah lafaz yang kedengarannya hampir sama, tetapi maksudnya amat berbeza. Dalam ertikata lain hadith ini bukan untuk semua keadaan.

Maka jika keadaan berbeza, di mana jika ada bukan muslim memberikan salam dengan cara yang betul serta tujuan yang betul pula iaitu untuk mengucapkan kesejahteraan kepada kita, maka hadith di atas tiada kaitan lagi. Apakah wajar untuk kita sebagai penganut agama yang membawa kesejahteraan dan rahmah, menolak ucapan baik orang lain dengan cara yang tidak sepatutnya?!!. Sudah pasti tidak wajar demikian. Apatah lagi dalam situasi Islam yang cuba dipandang serong oleh musuh-musuh yang mengelilingi umat. Tidak menjawab salam yang betul yang diberikan oleh bukan muslim yang tidak memerangi Islam sekurang-kurangnya telah tersasar dari mematuhi dua ayat al-Quran berikut:

Pertama: Surah al-Nisa: ayat 86: (maksudnya) “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

Kedua: Surah al-Mumtahanah ayat 8-9, (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.9. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Justeru itu tokoh ulama hadith yang terkenal pada zaman ini, al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. menyebut: “Ayat ini (Surah al-Mumtahanah ayat8) dengan jelas memerintahkan agar melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang kafir warga negara Islam yang berdamai dan tidak menyakiti kaum mukminin. Tanpa syak lagi, jika seseorang di kalangan mereka memberi salam dengan menyebut secara jelas as-salam ‘alaikum , lalu kita menjawabnya sekadar wa ‘alaika, adalah sesuatu yang tidak adil dan meninggalkan sikap baik. Ini kerana kita telah mensamakan antara dia dengan orang yang mengucapkan as-samu ‘alaikum (maut atau kemusnahan ke atas kamu). Ini adalah kezaliman yang nyata”. (Nasir al-Din Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 2/322, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif :1995).

Di kalangan para ulama yang melarang menjawab salam pun, berpendapat jika keadaan memerlukan maka diboleh untuk menjawab. Mereka contohkan seperti bimbang disakiti atau berlaku perkara yang tidak baik. Saya katakan keadaan umat hari ini menuntut kita menjawabnya dari segi nas, juga realiti kehidupan. Islam sudah dihodohkan rupa parasnya yang indah oleh penganut dan penentang. Enggan membalas ucapan baik dengan ucapan yang baik juga hanya akan menambahkan contengan di wajah Islam yang kudus. Maka menjawab salam bukan Islam di zaman ini adalah suatu kewajiban dari segi nas dan tanggungjawab dakwah.

Sunday, November 16, 2008

ADAKAH ISLAM MENGANJURKAN TANGKAPAN KHALWAT?

Dipetik dari tulisan Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin:

Beberapa hari lalu apabila saya membaca muka depan sebuah akhbar yang mendedahkan tangkapan khalwat ke atas individu tertentu yang dilakukan oleh jabatan agama dan disiarkan secara ‘promosi maruah’ oleh akhbar tertentu saya teringat kepada kenyataan saya pada peringkat awal saya menjadi mufti dua tahun lepas yang membantah tajassus atau mengintip.

Masa itu saya baru sahaja hendak dikenali oleh sesetengah masyarakat negara ini. Sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk mengkritik saya dan menganggap itu pandangan yang ‘menghalalkan’ maksiat. Demikian segelintir kelompok manusia yang cepat menghukum tanpa berfikir dan menilai.

Hari ini saya hanya tinggal sebulan lagi berada atas jawatan mufti, isu khalwat kembali menjadi tajuk besar media. Saya sudah banyak kali mengulas, namun biarlah saya sentuh lagi sebagai tazkirah isu ini untuk kali yang akhir ketika masih memegang jawatan.

Dalam hadis Muslim, seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata:

“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”

Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya:

“Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”.

Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya)

“Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114).

Maka ada seorang bertanya:

“Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?

Jawab Nabi saw:

“Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Demikianlah hadis ini menggambarkan Nabi SAW tidak mendedahkan keaiban orang lain selagi keburukan itu tidak dilakukan secara terang-terang. Juga, amalan soleh seperti solat boleh menghapuskan keburukan yang dilakukan. Ya, Islam memang mengharamkan zina dan maksiat seks. Namun, Islam juga mengharamkan mendedahkan aib orang lain yang bersifat peribadi dan tidak mengancam keselamatan awam dan empunya berusaha menutupinya.

Dahulu saya sudah sebut hal ini. Ada yang enggan mendengarnya kerana mereka merasakan mungkar mesti didedahkan sebagai pengajaran. Padahal Islam mempunyai pendirian yang berbeza. Akhirnya, hasil daripada sikap suka mengintai dan mendedahkan perkara dalam ‘kain orang lain’ sekalipun pelakunya cuba menyembunyikannya, maka kita lihat penyakit ini merebak ke dalam berbagai sektor kehidupan. Politik kita pun, politik lawan selak kain. Ekonomi pun demikian. Akhirnya, harga maruah menjadi murah dalam masyarakat kita.

Sesetengah media, memang suka berita sensasi tentang maruah ‘orang lain’ untuk dilelong. Namun Islam menentang cara yang demikian. Maksiat yang dibanteras secara keras oleh Islam adalah maksiat yang berlaku secara terbuka kerana ia menggalakkan aktiviti mungkar dan mencemarkan iklim masyarakat Muslim. Adapun maksiat berlaku secara sembunyi dan hanya membabitkan soal peribadi insan, bukan keselamatan awam, maka ia tidak didedahkan.

Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din. telah menyebut mengenai rukun-rukun pelaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud pelaksanaan al-Amr bi al-Ma‘ruf (menyuruh kepada kebaikan) apabila jelas ia ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemungkaran) apabila jelas ia dilakukan. Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:

“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta‘ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah Taala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (Maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam manamana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Tokoh ulama semasa seperti al-Qaradawi telah menyebut perkara yang hampir sama. Beliau dalam bukunya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam telah menyatakan:

“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintip atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….” Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih: (bermaksud):“Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya maksiat hati seperti riyak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kikir dan lain-lainnya. Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah-selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Adapun hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah”. Lalu al-Qaradawi menyebut kisah Saidina ‘Umar tadi. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).

Dalam tafsir Fi Zilal al-Quran, ketika menafsirkan firman Allah (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani”, Sayyid Qutb menyebut: “Namun perkara ini kesannya lebih jauh dari itu. Ia adalah prinsip Islam yang utama dalam sistem kemasyarakatannya, juga dalam urusan perundangan dan pelaksanaannya. Sesungguhnya bagi manusia itu kebebasan, kehormatan, kemuliaan yang tidak boleh dicerobohi dalam apa bentuk sekalipun. Tidak boleh disentuh dalam apa keadaan sekalipun. Dalam masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup dalam keadaan aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia mereka dan aman pada keaiban mereka. Tiada sebarang justifikasi – atas apa alasan sekali pun – untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah, rahsia dan keaiban. Sekalipun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya, tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai. Hukum manusia berasaskan apa yang zahir. Tiada hak sesiapa untuk mencari-cari rahsia orang lain. Seseorang tidak akan diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang nyata dari mereka….demikianlah nas ini (larangan tajassus) menempatkan dirinya dalam sistem pelaksanaan dalam masyarakat Islami. Ia bukan sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia telah menjadi dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan manusia. Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama”. (Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al- Syuruq).

Amat dukacita bagi masyarakat kita, jika kita sibuk mendedahkan maksiat yang tertutup yang disuruh oleh prinsip Islam agar kita tidak membukanya, dalam masa yang sama kita membiarkan berleluasa maksiat yang terbuka yang dilakukan atas pentas, dalam filem dan dijual dengan harga yang mahal.

Amatlah dukacita jika penguat kuasa agama ada masa yang cukup untuk pergi mengintip, memecah pintu milik peribadi orang lain bagi memastikan maksiat wujud ataupun tidak, namun dalam masa yang sama tiada masa untuk menghenti suami yang zalim memukul isteri yang sudah berulang kali membuat aduan, tidak cukup masa untuk menyelesaikan kes-kes kezaliman rumah tangga dan seumpamanya.

Aduhai dukacita, jika mereka bersemangat sampai sanggup tunggu pukul 2, 3 pagi untuk mengintip pasangan berkhalwat tetapi tiada cukup tenaga untuk membantah majalah-majalah yang terang-terang siang dan malam dijual yang mempamerkan aksi-aksi panas pasangan yang tidak berkahwin. Kita cari yang tersembunyi, kita biarkan yang nyata.

Intipan dan penangkapan seperti ini tidak pernah disuruh Islam. Malahan ditegah. Pelik tapi fakta!


Dalam satu riwayat daripada Zaid bin Wahb, katanya:

Dibawa seorang lelaki kepada ‘Abd Allah bin Mas‘ud, lalu diberitahu kepadanya: Lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih).

HUKUM LELAKI MEMAKAI GELANG TANGAN


Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya demikian juga Ibn Majah di dalam Sunannya. Hadith ini diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain, Lafaznya ialah:

أن النبي -صلى الله عليه وسلم- رأى رجلا في يده حلقة من صفر فقال: ما هذه? قال: من الواهنة، قال: انزعها فإنها لا تزيدك إلا وهنًا، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدًا

Maksudnya lebih kurang: “Bahawasanya Nabi saw telah melihat seorang lelaki di tangannya ada gelang daripada tembaga, Nabi saw bertanya: “Apakah ini?” Orang itu menjawab: “ianya daripada al-Wahinah.” Sabda Nabi saw: “Tanggalkannya segera, sesungguhnya dia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan, sesungguhnya jika kamu mati dan gelang itu ada padamu, kamu tidak akan berjaya selama-lamanya.”

Dalam hadith ini tidak disebut siapakah lelaki yang memakai gelang tersebut, namun di dalam al-Mustadrak al-Hakim dinyatakan lelaki tersebut ialah ‘Imran bin Husain sendiri.

Tentang hadith ini para ulama berbeza pendapat akan kesahihannya. Hadith ini diriwayatkan daripada al-Hasan daripada ‘Imran bin Husain. Para ulama berbeza pendapat apakah al-Hasan (الحسن) benar-benar mendengar daripada ‘Imran bin Husain (عمران بن حسين) ataupun tidak. Demikian juga di dalam hadith ini ada periwayat yang bernama Mubarak bin Fadhalah (مبارك بن فضالة), ia juga diperselisihkan di kalangan ulama hadith. Kesimpulannya para ulama tidak sepakat dalam mensahih dan mendhoiefkan hadith ini.

Jika kita mengambil pendapat ulama hadith yang mensahihkan hadith tersebut, tinggal kepada kita untuk benar-benar memahami maksudnya sehingga kita boleh berhukum dengannya dengan cara yang betul. Perkara ini perlu supaya kita tidak keras mengharam sesuatu yang sebenarnya tidak haram seperti yang kita sangka.

Al-Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan menyebut, pertanyaan Nabi saw: “Apakah bendanya ini.” Yang zahir, pertanyaan ini adalah pertanyaan yang menunjukkan pengingkaran, namun dikatakan juga pertanyaan Nabi saw itu adalah untuk mengetahui tujuannya memakai gelang tersebut.

Manakala jawapan lelaki tersebut: “ianya daripada al-Wahinah.” Membawa maksud, aku memakainya untuk mengelakkan al-Wahinah, untuk dia melindungi aku daripadanya (yakni melindungi daripada al-Wahinah). Al-Wahinah adalah penyakit yang kena pada tangan, dinamakan di kalangan orang Arab dengan al-Wahinah, termasuk di dalam kebiasaan mereka memakai gelang untuk berlindung daripada kesakitannya dan mereka percaya gelang tersebut akan melindungi dari penyakit tersebut.

(Sila lihat di sini:

http://www.alfawzan.ws/AlFawzan/Libr…32§ionid=2)

Al-Syeikh ‘Abdul Hakim (Kuliah al-Syariah Uni. Al-Imam Muhammad bin Saud) di dalam laman islamtoday berkata: Para ulama berbeza pendapat tentang maksud al-Wahinah, namun mereka bersepakat akan illah (sebab) larangan tersebut… Ulama telah bersepakat bahawa illah (sebab) larangan tersebut ialah kerana orang menjadikannya (al-Wahinah) seperti tangkal, yang terdapat larangan menggantungnya.

(Sila lihat:

http://www.islamtoday.net/questions/…t.cfm?id=43737)

Berdasarkan fatwa ini, ia menunjukkan larangan memakai al-Wahinah yang ada di dalam hadith tersebut bukanlah semata-mata kerana ianya gelang, dan bukan juga larangan dari berubat dengan gelang. Sebaliknya larangan tersebut disebabkan ia dipakai dan dianggap seperti tangkal bertujuan memelihara diri dari penyakit. Tangkal yang dianggap boleh berubat ini, yang dinamakan sebagai al-Wahinah oleh orang Arab tidak ada sebarang bukti menunjukkan ia boleh menghalang dari penyakit samaada bukti dari Nas Syara’ (al-Quran atau al-Hadith) mahupun penemuan sebab-sebab dia boleh bertindak sebagai ubatan. Kerana itu ia dilarang oleh Nabi saw. Ringkasnya larangan itu adalah disebabkan tangkal yang tidak ada bukti berperanan sebagai pengubat melainkan khayalan dan khurafat semata.

Maka apabila terdapat nas Syara’ atau penemuan saintifik yang dapat membuktikan sesuatu bahan seperti logam atau seumapamanya yang jika dipakai dibadan dapat melancarkan perjalanan darah atau seumpamanya, sudah tentu bahan tersebut boleh digunakan insyaallah. Ini termasuk cara perubatan yang ditemui, hasil dari kajian melalui sebab musababnya.

Ini kerana perubatan yang dibenarkan itu terdiri daripada:

Perubatan dengan ayat-ayat al-Quran dan al-Hadith.
Perubatan dengan bahan-bahan yang disebut di dalam al-Quran dan al-Hadith seperti Madu, Habbah al-Sauda dan seumpamanya.
Perubatan berdasarkan kajian saintifik terhadap sebab-sebabnya, atau berdasarkan pengalaman mengunakannya.

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum orang lelaki memakai gelang, sebahagian mengatakan harus dan sebahagian yang lain mengatakan haram. Namun para ulama yang mengharamkan pemakaian gelang bagi lelaki, setakat penelitian saya tidak ada yang menjadikan hadith di atas sebagai dalil dalam pengharam tersebut. Sebaliknya hadith tersebut banyak digunakan ketika berbicara tentang tangkal dan azimat yang dianggap dapat melindungi dan mengubati tanpa sebarang bukti dari nas syara’ mahupun kajian saintifik. Al-Sindiy ketika mensyarahkan hadith di atas di dalam Sunan Ibn Majah menyatakan larangan tersebut kerana ianya sama dengan al-Tama-im atau tangkal yang dilarang penggunaannya. Kadangkala tangkal itu digantung bersama dengan manik, yang dinamakan Manik al-Wahinah (خرز الواهنة)

Penggunaan sesuatu tangkal (terdiri dari potongan besi, tembaga, simpulan benang dan lain-lain) untuk berubat dan memelihara diri, ada perbezaan yang cukup besar dengan cara perubatan dengan sesuatu bahan hasil dari penemuan saintifik. Kepercayaan kepada tangkal yang dapat berubat adalah suatu khayalan yang tidak diterima di dalam syara’, dan ianya tidak ada kaitan langsung dengan unsur-unsur perubatan. Berbeza dengan penggunaan sesuatu bahan hasil dari kajian saintifik dan terbukti memberi manfaat kepada manusia.

Kerana itu, al-Syeikh ‘Abdul Halim di dalam fatwa yang sama (yang saya sebutkan sumbernya di atas) membenarkan penggunaan potongan besi (yang digunakan dalam perubatan moden) yang ditanam pada beberapa gigi, atau di tempat-tempat tertentu di tubuh badan yang berperanan menyerap aliran elektrik yang boleh menjadi sebab seseorang hilang ingatannya (pengsan). Beliau menyambung jika seseorang pesakit mendapat manfaat dengan cara sebegini dengan pengakuan individu berkeahlian yang dipercayai, maka ianya tidak mengapa insyaallah. Cuma beliau di dalam fatwanya mencadangkan lebih baik jika bahan seperti potongan besi itu digunakan ditempat yang tersembunyi sebagai mengelak dari buruk sangka orang ramai.

Demikian juga di dalam laman islam-online, al-Ustaz Muhammad Sa’di (Penyelidik laman islam-online) ketika ditanya tentang hukum memakai gelang dari tembaga yang diperbuat bagi tujuan perubatan apakah dibenarkan atau ia termasuk di dalam Syirik yang kecil, beliau menjawab: “Jika terbukti kemanfaatan gelang tersebut sebagai perubatan, maka perbuatan itu tidak mengapa, adapun jika tidak ada padanya sebarang manfaat, maka jangan dipakaikan kerana ketika itu ia termasuk dalam kumpulan memakai tangkal dan azimat.”

(Sila lihat soalan ke 11:

http://www.islamonline.net/livefatwa…GuestID=n4MV6S)

Seperti yang saya sebutkan di atas, para ulama berbeza pendapat tentang hukum pemakaian gelang bagi lelaki. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut di sisi mazhab al-Syafieyyah terdapat dua wajah tentang hukum perhiasan lelaki selain cincin perak seperti gelang tangan dilengan (الدملج) dan gelang (السوار) dan kalung (الطوق) dan mahkota (التاج). Pertama mengatakan haram dan kedua mengatakan harus selama mana tidak menyerupai wanita, kerana tidak thabit dalam (pengharaman) perak melainkan pengharaman untuk bekas-bekas (seperti pinggan, mangkuk dll), dan perhiasan dalam bentuk menyerupai wanita. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 18/110 bawah bab al-Huliy)

Darul Ifta’al-Misriyyah pula di dalam laman webnya menyebut perkataan al-Rafi’e (ulama mazhab al-Syafie) di dalam Syarh al-Wajiz yang mengatakan harus bagi lelaki memaki cincin perak berdasarkan riwayat cincin Nabi saw daripada perak dan harus juga memakai selain cincin dari perhiasan perak seperti gelang dan gelang lengan dan kalung. Demikian juga perkataan Abu Said al-Mutawali yang mengatakan apabila harus memakai cincin perak, maka tidak ada beza antara jari-jari dengan anggota lainnya, sama seperti perhiasan emas yang dihalalkan untuk wanita, maka diharuskan untuk orang lelaki memakai gelang di lengan, kalung di tengkuk dan gelang di tangan dan selainnya kerana tidak thabit pengharaman perak melainkan pengharaman kepada bekas-bekas dan pengharaman menyerupai wanita.

(Sila lihat laman rasmi Dar al-Ifta’ al-Misriyyah: http://www.dar-alifta.com/)

Kesimpulan dari jawapan di atas ialah:

TIDAK HARAM berubat dengan gelang yang terbukti melalui kajian saintifik atau pengakuan individu yang berkelayakan dan boleh dipercayai agamanya.

Larangan memakai gelang yang dinamakan al-Wahinah di dalam hadith bukan merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk kepada larangan berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada merubat dengan tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal.

Orang-orang yang menggunakan gelang atas sebab-sebab yang dibenarkan hendaklah memerhatikan yang mereka tidak sampai ke tahap yang dilarang seperti pembaziran dan menyerupai wanita dalam penggunaannya.

HUKUM LELAKI MEMAKAI RANTAI LEHER

Tidak ada dalil yang sarih dari alQur:an yg mengharamkan rantai leher untuk lelaki. Sumber kedua, iaitu alHadis dan sumber-sumber hukum yg lain spt ijtihad fuqaha' serta 'Uruf boleh digunakan untuk memutuskan sesuatu hukum.

Dalam madzhab Syafi'iy(Fiqh alManhaji) menegaskan haram hukumnya berdasarkan hadis Bukhari (no 5546) yang bermaksud:
Dari Ibn Abbas RA, bahawa RasuluLlah saw melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Fiqh as Syafi'iy berpendapat haram hukumnya lelaki menyerupai wanita dalam berpakaian dan perhiasan seperti mengenakan anting-anting, loket, kalung, rantai leher dan gelang tangan. Juga diharamkan peniruan dalam bentuk percakapan dan lengganglengguk kecuali itu adalah asal kejadiannya (pondan).

Namun, bertaklid (percaya bulat-bulat) kepada mazhab adalah dilarang oleh Imam mazhab sendiri. Mengikut suatu mazhab adalah tidak wajib dan tidak pula disuruh di dalam Al-Quran dan hadith. Oleh itu masih terbuka ruang tajdid untuk perkara ini.

INI MENEPATI SEPERTIMANA YANG DIKATAKAN OLEH IMAM SYAFIE SENDIRI:


Imam Asy-Syafi’i, beliau berkata: (mazhab syafie)
“Setiap masalah yang jika di dalamnya terdapat hadits shahih dari Rasulullah Shalallahu alaihi wa sallam menurut para pakar hadits, namun bertentangan dengan apa yang aku katakan, maka aku rujuk di dalam hidupku dan setelah aku mati.” (Al-Hilyah 9/107, Al-Harawi, 47/1)

Imam Syafie pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263).



Rantai leher untuk lelaki tidaklah seharusnya dikatakan haram mutlak kerana lelaki yang memakai rantai sememangnya memakai rantai yang direka khas bentuknya untuk lelaki. Ini samalah seperti lelaki memakai jam tangan dan wanita juga memakai jam tangan. Namun jam lelaki dan wanita adalah berbeza satu sama lain dari segi bentuk dan fesyennya. Memang diketahui bahawa lelakilah yang mencipta dan memakai jam tangan dahulu. Adakah adil dikatakan wanita itu meniru lelaki kerana turut mamakai jam tangan? Pastinya tidak kerana bentuk jam tangan wanita sudah disesuaikan dengan fitrah mereka.

Sama lah juga dengan seluar. Ada seluar direka khas untuk lelaki dan ada untuk wanita. Jika lelaki yang memulakan tradisi memakai seluar slack, adakah wajar dikatakan haram untuk wanita memakai seluar slack? Pastinya tidak kerana seluar slack wanita direka khas untuk wanita dan kita dapat membezakannya.

Jika kita lihat seperti gelang tangan, sememangnya gelang tangan juga direka berbeza bentuknya mengikut jantina. Kita tidak boleh mengatakan lelaki yang memakai gelang meniru wanita kerana gelang lelaki dibentuk khas untuk lelaki. Jika gelang tangan mat rempit diberi kepada wanita, sudah pastilah wanita itu haram memakainya kerana ia menyerupai lelaki. Samalah seperti isu jam tangan dan seluar slack tadi.

Jika difikir dari segi kelayakan mamakai rantai leher, pastinya lelaki lebih layak kerana belahan dada wanita adalah aurat!

Jadi janganlah kita menghukum sesuatu berdasar kepada emosi tetapi berdasar fakta. Jika di dalam kepala kita bersarang prinsip Islam itu ketat, sudah pastilah otak kita akan dipengaruhi emosi ketika mentafsir dalil sehingga banyak perkara ditokok tambah. Siapa yang menentukan sesuatu itu tidak baik? Pastinya Al quran dan hadith. Bukannya emosi dari biji mata dan otak ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah.

Saturday, November 15, 2008

WAJIBKAH BERWUDHU' KETIKA BERURUSAN DENGAN AL-QURAN?



AMARAN: Kepada muslim melayu yang sudah tebal pemikiran "pak turut" nya dalam agama, jangan melatah dahulu. Baca sehingga habis dahulu






Perlukah berwudhu ketika berurusan(baca, pegang) dengan Al-Quran?

Pertama: Ijma' fuqaha' menetapkan harus membaca alQur'an tanpa wudhu' dan tanpa menyentuh musyhaf, namun berwudhu' itu lebih afdhal (Imam Syaraf anNawawi, alMajmu' Jld 2, ms 76)

Kedua: Orang berhadas kecil membaca, menyentuh dan membawa dari musyhaf. Khilaf fiqhi, jumhur (termasuk Syafi'iyah) menegahnya berdasarkan dalil Qur'ani alWaqi'ah:78-79 dan hadis riwayat Malik dan Baihaqi dari Umar bin Hizam.



Para pentahqeeq (penilai semula) terdiri dari pentarjih hadis dan ahli tafsir alQur'an berpendapat orang berhadas kecil dan besar boleh membawa, menyentuh dan membaca alQur'an. Antaranya ialah Imam alHafidz asySyawkani (nailool Awthor, Jld 1), Imam alHafiz Ibn Hajar (Fathul Baari, Jld 1) mereka menggunakan pendapat Ibn Abbas, pentafsir nombor satu alQur'an yg mentafsirkan ayat 79 dalam surah alWaqi'ah yg secara mutlak merujuk kepada Malaikat, kerana ayat 11-16 (S Abasa) dan ayat alBuruj 21-22) memperkuatkan tafsiran ayat 79 (S Waqi'ah) itu adalah Malaikat. Dari pengkaji hadis pula mendapati hadis-hadis yg menegah orang hadas menyentuh alQur'an ada cacatnya.
Seorang pengkaji semula hukum-hukum fiqih dari Saudi, Syaikh Abu Yusof Abd Rahman Abd Samad,as-ilatu thalatah Haulaha al Jadal merumuskan dari perselisihan fuqaha' ini,. hukum pertengahan ialah Makruh hukumnya orang berhadas menyentuh dan membawa musyhaf.

Bagaimana pula dengan perempuan haidh?

Jumhur menetapkan wanita haidh tidak boleh memegang musyhaf dan membaca darinya. Namun boleh membaca ucapan Bismillah, alhamdulillah, yarhamkallah, dan ungkapan pendek-pendek yg lain. Dia juga boleh membaca kitab tafsir atau membaca ayat jika dijadikan hujah atau mengajar di sekolah. Jumhur menetapkan haram wanita haidh membaca alQur'an dari musyhaf atau ingatan atau sebarang kitab dengan bacaan yg kuat dengan tujuan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah. Selain itu bergantung kepada keadaan dan tujuan. Fiqh Sunah.





Bagaimana caranya untuk menghapuskan ayat Al-Quran yg tidak dikehendaki(koyak, rosak) lagi?

Tidak boleh melemparkan mana-mana lembaran dari al-Quran ke tanah atau ke tempat yang keji, selama di dalamnya terkandung walaupun satu huruf ataupun satu ayat suci al-Quran. Bahkan, jika ia dilakukan atas jalan menghina dan mengeji, maka jatuh kufur kepada pelakunya, wal-iyazubillahi min zalik.

Jika terdapat mana-mana lembaran al-Quran yang sudah reput atau sudah tidak dapat digunakan lagi, maka tidak mengapa menghapuskannya dengan cara membakarnya. Ini adalah untuk mengelakkan al-Quran itu dari terdedah kepada penghinaan dan kejian.

Saidina Usman bin Affan pernah memerintahkan membakar mushaf (al-Quran), kecuali al-Quran versinya (Usmani). Ini adalah bertujuan untuk memelihara al-Quran itu. Para sahabat yang lain pula tidak mengengkari perbuatan saidina Usman r.a.

Al-Sayuthi di dalam al-Itqan telah menukilan dua cara yang dibenarkan untuk menghapuskan lembaran al-Quran. Iaitu:
1. Menghapuskannya dengan air.
2. Membakarnya, sebagaimana yang telah dilakukan oleh saidina Usman r.a.

Al-Sayuthi mengatakan bahawa tidak dibenarkan mengoyakkannya.

Ada ulamak yang mengatakan bahawa, membakarnya adalah lebih baik dari menghapuskannya dengan air. Berlainan dengan al-Qadhi Husain yang melarang membakarnya, kerana ia melanggar perlakuan menghormati. Al-Nawawi mengatakan membakarnya sebagai makruh.

Manakala terdapat di dalam sebahagian kitab mazhab Hanafi, jika lembaran al-Quran tidak dapat digunakan, maka hendaklah ditanam di dalam bumi, kemudian hendaklah diletakkan tanda untuk mengelakkan dari dipijak oleh kaki manusia.

Kesimpulan, setelah melihat kepada pendapat-pendapat ulamak di atas, syeikh Athiyah Saqar telah membuat kesimpulan, bahawa membakarnya adalah cara yang paling ringan sekali. Di samping itu, hendaklah kita menjaga niat kita, iaitu untuk memelihara al-Quran itu dari ditimpa penghinaan dan kejian. (Lihat Ahsanul Kalam Fil Fatawa, vo.7, hal. 197)

BERSOLEK DIBENARKAN UNTUK WANITA


Di dalam surah al-Nur, ayat 31:
"Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa keliahtan padanya, dan hendaklah mereka meletakkan penudung pada dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.."

*****
Di atas adalah di antara nash syar'I yang menjadi dasar berpakaian dalam Islam dan berhias (utk wanita).

Kemudian pada ayat lain Allah berfirman:
"dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)

Ayat ini pula menceritakan tentang larangan bertabarruj sebagaimana orang jahiliah dahulu.

**************
Apa itu tabarruj yang di maksudkan di dalam firman Allah:
"dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu (pertama)". (Al-Ahzab:33)

Ayat di atas sebagai irsyad ( petunjuk/tunjuk ajar) kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. agar tetap di rumah dan tidak bertabarruj sebagaimana orang-orang jahiliyah dahulu.

Tabarruj dikatakan sebagai berjalan dengan berlenggang-lenggok atau memperelokkannya. Lagi satu pendapat lain mengatakan, tabarruj ialah memperlihatkan keelokkan/kecantikkannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Tabarruj berasal dari kata BARAJUN, bererti luas. Dan ada yang mengatakan ia berasal dari kata BURJUN yang bererti tinggi.

************

Selesai mengenai erti tabarruj Dan, lihat kembali ayat al-Quran: ".orang-orang jahiliyah dahulu."

Tabarruj yang dikaitkan dengan orang-orang jahiliyah dahulu. Siapakah mereka itu? Pada zaman mana orang-orang jahiliyah dahulu berada? Di dalam tafsir al-Qurthubi menyatakan beberapa pendapat mengenainya:
1. Iaitu masa antara Adam dan Nuh a.s., ini adalah pendapat al-Hakam bin Uyainah.
2. Ibnu Abbas berpendapat: Masa di antara Nuh dan Idris a.s.
3. Al-Kalbi: Masa di antara Nuh dan Ibrahim a.s.
4. Jamaah: Masa di antara Musa dan Isa a.s.
5. Abu Aliyah: Masa di antara Daud dan Sulaiman a.s.
6. Al-Sya'bi: Masa di antara Isa a.s. dan Muhamad s.a.w.

Namun semua pendapat itu tidak disandarkan dengan satu sumber yang kukuh dan sahih. Cuma yang pasti, semua mereka di atas bersepakat mengatakan bahawa jarak masa antaranya dan masa Nabi Muhamad dibangkitkan sebagai Rasul adalah jauh (jangkamasa yang begitu lama). Dan, apabila al-Quran menyebutkan "jahiliyah dahulu" - dahulu/lama/pertama - bermaksud di sana ada yang dikatakan sebagai `jahiliah baru' atau `jahiliyah kedua'.

Bila masa jahiliyah kedua berada? Iaitu selepas jahiliyah pertama dan sedikit masa sebelum kebangkitan Nabi kita Muhamad s.a.w.

Mengapa jahilyah pertama/dahulu ini dikaitkan dengan tabarruj? Buruk sangatkah mereka ini? Hodoh sangatkah perangai depa ni? Ya, gambarannya lebih kurang begini:
Perempuan-perempuan jahiliyah pertama/awal pakaiannya - memakai baju dari lu'lu', atau baju dari mutiara dan intan yang tidak berjahit kedua belah, dan berpakaian tipis yang menampakkan tubuh badannya. Dengan berpakaian begini, mereka akan berjalan di jalan-jalan mempamerkan diri mereka kepada kaum lelaki. Dan, dapat dirasakan bahawa zaman berkenaan adalah zaman yang penuh dengan kemewahan.

Era jahiliyah kedua yang akan berhubung dengan era kebangkitan Muhamad sebagai rasul tidaklah sampai ke peringkat begitu teruk. Namun ada juga sedikit sebanyak tabarruj yang berlaku, hingga kadangkala sampai ke peringkat telanjang terus. Ini dapat dibuktikan melalui hadis riwayat Muslim, bagaimana kaum wanita zaman itu bertawaf dalam keadaan telanjang bulat.

Sekarang ini jelaslah sudah mengapa Allah mengaitkan al-jahiliyah al-`Ula (jahiliyah pertama/dahulu) dengan tabarruj. Dan, dengan penjelasan di atas tidaklah bermakna yang terlarang ialah bertabarruj seburuk orang-orang jahiliyah pertama, kalau kurang daripada itu tidak mengapa. Tak apalah kalau tabarruj sikit-sikit. Ini adalah fahaman yang salah, kerana Allah menyebutkan sifat-sifat tabarruj jahiliyah pertama adalah bertujuan memberi penjelasan realiti yang berlaku ketika itu, bukannya mahu mengaitkan pengecualian hukum selain daripada itu. Ia lebih berbentuk penjelasan tentang keji dan berlawanannya perbuatan itu dengan citarasa serta naluri kemanusiaan.

Perlu diingatkan bahawa maksud tabarruj yang dilarang di dalam Islam ialah membuka aurat - berdasarkan kepada siapa dia berhadapan. Kalau di hadapan dengan lelaki asing, apa yang perlu ditutup. Jika tidak memenuhi kehendak ini, maka dia sudah tergolong di dalam perempuan yg bertabarruj. Begitulah seterusnya ketika di hadapan mahram, orang gaji dsbnya

Ya, selesailah sudah penjelasan mengenai tabarruj. Saya harap ia mudah difahami dan tidak membosankan. Dan, kita teruskan lagi ke pembahasan selanjutnya. Kali ini mengenai berhias pula.

Mari kita lihat lagi firman Allah:
Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya, dan hendaklah mereka melatakkan penudung pada dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.. (al-Nur, ayat 31)

Kita ambil sedikit petikan ayat: ..dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya.

Terjemahan ayat : kecuali yang biasa kelihatan padanya.. dapat juga diterjemahkan: kecuali apa yang zahir (illa ma zahara). Pada ayat ini Allah Taala melarang wanita mempamirkan perhiasan, kecuali apa yang zahir. Persoalannya di sini ialah, apa maksud perhiasan zahir yang boleh dipamirkan? Jadi, dapat difahami bahawa perhiasan ada dua:
1. Yang zahir/nyata
2. Yang tidak zahir/nyata (batin/dalaman/tersembunyi)

Apakah perhiasan zahir? Apakah pula perhiasan yang tidak nyata? Para ulama yang mengatakan muka dan rambut itu adalah aurat, mereka menafsirkan bahawa perhiasan yang zahir itu ialah pakaian itu sendiri. Bila wanita berpakaian, bertudung dan menutup muka, maka itulah dia maksud perhiasan yang zahir. Perhiasan yang tidak nyata pula ialah, rantai leher, gelang, anting-anting dsbnya..

************


Mereka yang memasukkan celak dan pewarna telapak tangan sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan di hadapan lelaki ajnabi tidaklah dihadkan terhadap dua perkara itu sahaja. Ia disebutkan hanyalah sebagai wakil dari perhiasan-perhiasan lain yang biasa digunakan pada muka atau telapak tangan. Ia berdasarkan adat, tradisi dan kebiasaan satu-satu kelompok masyarakat. Berikut ini adalah antara perhiasan yang ada dan biasa digunakan oleh para wanita pada zaman Rasulullah s.a.w atau tradisi arab dahulu:
1. Khidhab Pewarna untuk tangan
2. Shufrah Pewarna kuning untuk wajah
3. Kalkun Pewarna untuk memerahkan wajah
4. Isfidaj Pewarna putih untuk wanita berhias.
5. Celak Berhias pada mata
(Nanti akan disertakan dalil tentang kewujudan perhiasan ini)

***********
Zaman kita ini sudah tentu yang biasa digunakan sebagai perhiasan muka ialah gincu, bedak, losyen dan juga celak. Jadi, bila celak dan segala macam di atas itu boleh, mengapa tidak gincu? Sebab yang dibenarkan bukanlah diri celak itu secara khusus tetapi sesuatu yang lebih umum iaitu perhiasan yang biasa dilihat, yang biasa digunakan pada muka. Dan gincu serta bedak adalah termasuk di bawah keumuman ini.

Begitu juga dengan perwarna kuku, ia termasuk di bawah perhiasan yang boleh dipamerkan tetapi hendaklah dari bahan yang tidak menghalang air. Kerana jika air terhalang dari sampai ke kuku akan mengakibatkan wuduk tidak sah.

Berikut ini adalah sebahagian dalil kewujudan perhiasan di atas:

Dari Zainab binti Abu Salamah, dia berkata: Ketika datang berita kematian Abu Sufian dari Syam, Ummu Habibah meminta diberikan wangi-wangian berwarna kuning pada hari yang ketiga. Lalu dia mengusapkannya pada kedua pipinnya dan kedua lengannya. Dia berkata: Sesungguhnya aku benar-benar tidak memerlukan ini, kalaulah bukan kerana aku pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari kemudian untuk berkabung atas mayat lebih dari tiga hari, kecuali atas suami, maka dia berkabung atasnya empat bulan sepuluh hari. (HR Bukhari & Muslim)

Wangi-wangian di dalam hadis bermaksud pewarna yang menyerlah warnanya dan tersembunyi baunya (tidak menyerlah dan menyemarak). Adakalanya ia disapukan di muka untuk memperelok warna muka atau pada telapak tangan.

Wajib berhias setelah tamat tempoh 3 hari berkabung kerana kematian, kecuali kematian suami yang tempoh perkabungan adalah selama 4 bulan 10 hari. Berhias di sini adalah untuk keluar dari tempoh perkabungan.

Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk berbaiah kepadanya, tetapi perempuan itu tidak ber ikhtidab, sehingga baginda tidak mahu membaiahnya melainkan setelah ber-ikhtidab (HR Abu Daud)

Ikhtidab ialah sejenis pewarna yang biasa digunakan pada telapak tangan pada zaman itu.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Wangi-wangian lelaki adalah apa yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Dan perhiasan wanita ialah apa yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya (HR al-Tarmizi)

Dari Imran bin Husin, bahawa Nabi Allah s.a.w. bersabda: ingatlah bahawa wangi-wangian lelaki adalah bau tanpa warna. (HR Abu Daud)

Dari Ummu Athiyah, dia berkata: Adalah kami dilarang untuk berkabung terhadap seorang mayat lebih dari tiga hari, kecuali terhadap suami, maka empat bulan sepuluh hari. Kami tidak boleh bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian bercelup. (HR Bukhari & Muslim)

*********
Apabila kita menerima hujah yang mengatakan bahawa perhiasan yang zahir atau yang biasa dilihat itu adalah celak, gincu, bedak dan segala suku-sakatnya, maka perlu kita ketahui juga batas-batas yang perlu dipelihara. Iaitu:
1. Memelihara niat dan tujuan berhias. Tidak bertujuan untuk menarik pandangan dan perhatian lelaki ajnabi.
2. Dari segi praktiknya hendaklah bertepatan dengan niatnya. Iaitu tidak berhias secara berlebih-lebihan hingga atau yang dapat menarik perhatian serta menggugah perasaan lelaki ajnabi. Seperti bercelak dengan cara dan gaya yang dapat menarik perhatian. Atau bergincu dengan warna yang begitu menyerlah merah menyala-nyala. Atau berbedak dengan bedak yang berwarna warni. Di tambah dengan keharuman yang menyemarak. Atau memanjangkan kuku. Atau sebagainya.
3. Tidak dari bahan yang mengeluarkan bau wangi dan harum menyemarak serta tersebar. Boleh dari bahan yang wangi tetapi yang tersembunyi baunya.

Ya, pokoknya bersoleklah secara sopan, bersahaja dan kemas serta menampilkan ciri-ciri wanita yang baik. Tidak kelihatan seperti wanita yang mahu memikat lelaki atau ciri-ciri wanita fasiq dsbnya. Seperti kita lihat ramai wanita hari ini yang bersolek mengenakan gincu, bedak dan segala macam Melebihi dari sekadar yang dibenarkan oleh syarak. Mereka ini berhias begini hanya diluar rumah sahaja, sedangkan ketika bersama suami keadaan adalah sebaliknya.

Lebih baik lagi jika diniatkan solekan itu sekadar untuk mengelakkan diri dari kusut masai, berserabut dan tidak terurus. Berginculah sekadar mahu mengelakkan diri dari kelihatan lesu, tak bermaya dan tidak cergas. Berbedak atau berlosyenlah sekadarnya sahaja dengan tujuan mahu menjaga kesihatan kulit muka dsbnya.

Ya.. Kalau bersolek itu tidak boleh, silakan saja. Pergilah ke pejabat atau mengajar ke sekolah, dan jangan bersolek samasekali. Pergilah dalam keadaan kusut masai dengan muka seperti orang yang belum mandi. Kelihatan lesu. Pakaian pula tidak bergosok. Berkedut sana dan sini. Baju bergosok, haram katanya. Ditambah lagi dengan bau peluh yang kurang enak dan menyengat hidung. Pakai wangian walaupun yang baunya tersembunyi utk menghindarkan dari bau peluh, juga haram katanya. Ya.. silakan saja..

Sudah tentu para wanita muslimah dapat menggambarkan bagaimana cara hendak menghindarkan keadaan di atas. Dan.. Kalau sudah dapat menggambarkannya, itulah dia solekkan yang dibenarkan oleh syarak ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Sekadar mahu mengelakkan diri dari kusut masai dan nampak tidak terurus.

Bukan sekadar lipstik, malahan umumnya wanita memang tidak dapat dipisahkan dengan bersolek. Sebab sudah memang naluri semulajadi mereka sukakan begitu. Syeikh Athiyah Saqar mengatakan: Memperelok /menghias diri oleh seseorang manusia secara umumnya mempunyai kepentingan/kebaikan. Dan secara khususnya, menghias diri bagi seorang wanita mengandungi mara bahaya. Kecantikan adalah satu perkara yang disukai oleh jiwa/naluri. Ia mempunyai tempat di dalam agama, di mana ia dituntut secara syarak dengan kadar yang dapat membawa kepada tujuan yang baik darinya, serta terhindar dari perkara-perkara yang diharamkan dari sudut cara, tujuan dan maksud.

REALITI TENTANG HUKUM MEWARNAKAN RAMBUT



Assalamualaikum, hukum mewarna rambut sering dibincang dikalangan anak muda kini. Ada golongan yang kononnya Alim sangat menentang pewarnaan rambut ini tanpa adanya ilmu yang tepat. Padahal budaya mewarna rambut adalah budaya yang dimulakan oleh orang Islam, bukan orang kristian dan yahudi!

Kita boleh membahagikan masalah ini kepada 2 bahagian:
1. Hukum mewarna rambut.
2. Masalah tidak sampai air ke anggota wuduk dan hadas.
----------------
1. Hukum mewarna rambut.
Umat Islam dibenarkan mewarnakan rambutnya. Berikut ini kami terjemahkan fatwa Dr. Yusof al-Qardhawi mengenainya (Al-halal Wal haram Fil Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi, hal.89-09):

[Sebahagian dari perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan wambut atau janggut yang telah beruban. Telah datang satu riwayat yang menjelaskan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani enggan mewarna rambut dan mngubahnya dengan beranggapan, antaranya ialah berhias dan memperelok diri itu dapat menghindarkan erti peribadatan dan beragama. Sebagaimana yang dilakukan oleh para rahib dan ahli-ahli zuhud yang bersikap berlebih-lebihan.

Tetapi Rasulullah s.a.w. melarang mengikut (taqlid) kepada suatu kaum dan mengikuti jejak langkah mereka, supaya umat Islam sentiasa mempunyai keperibadian yang berbeza, zahir dan batin. Dan, diriwaytakan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya orang-orang Yahudi tidak mahu mewarnakan rambut, oleh itu berbezalah kamu dengan mereka. (HR Bukhari).

Amar (perintah) di sini mengandungi maksud sunat, sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para sahabat, seperti Abu Bakar dan Umar. Manakala yang lainnya tidak melakukan (mewarna rambut), seperti Ali, Ubai bin Ka'b dan Anas.

Tetapi, dengan warna apa dibenarkan mewarna rambut? Apakah dengan warna hitam atau warna-warna lain? Atau mesti mengelakkan dengan warna hitam?

Orang yang telah tua, ubannya telah merata semada di kepala ataupun di janggut, tidak selayaknya mearna dengan warna hitam. Oleh itu, ketika Abu Bakar membawa bapanya ABu Qufahah ke hadapan Nabi s.a.w. pada hari penaklukan Mekah, Nabi melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Nabi bersabda:
"Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam." (HR Muslim).

Manakala mereka yang tidak sebaya dengan Abu Qufahah, tidaklah berdosa apabila mewarna rambutnya dengan warna hitam. Dalam amsalah ini al-Zuhri telah berkata: "Kami mewarna rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah goyang, kami tinggalkan warna hitam." (Fathul Bari)

Segolongan ulamak salaf membenarkan mewarna dengan warna hitam, mereka ialah Saad bin ABi Waqqas, uqbah bin Amir, Hasan, Husain, Jarir dan selainya.

Sebahagian ulamak berpendapat tidak boleh dengan warna hitam kecuali dalam keadaan perang agar dapat menakutkan musu. Kerana mereka akan melihat semua tentera-tentera Islam masih kelihatan muda. (Fathul Bari).

Dan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan:
"Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam." (HR Tarmizi dan ash-habusunan)

Katam adalah satu pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan. Dan Inai berwarna merah.

Anas bin Malik meriwayatkan, bahawa Abu Bakar mewarna rambutnya dengan inai dan katam, manakala Umar hanya dengan inai sahaja.]

*****intaha al-Qardhawi****

----------
Masalah:
Namun amat disayangkan sekali pada hari ini.. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Jika melihat kepada saranan nabi kepada kita agar mewarnakan rambut apabila telah beruban agar kita ini berbeza dengan orang Yahudi (kafir), namun sekarang ini sebahagian dari kita mewarna rambut kerana tidak ingin berbeda dengan orang kafir.

Sudah menjadi tabiat, bangsa yang lemah meniru bangsa yang kuat. Dan, kerana orang barat rambutnya berwarna perang, maka sebahagian anak-anak muda Islam mewarnakan rambutnya dengan warna perang. Supaya kelihatan seperti orang barat. Mereka melakukannya kerana kagum, kasih dan cintakan kaum berkenaan.Sebahagiannya mewarna-warnikan rambut kerana mengamalkan budaya punk.

Adalah tidak wajar jika mereka mengatasnamakan sabdaan Rasulullah s.a.w. terhadap perlakuan mereka ini. Mereka berbuat demikian bukan sebab sabdaan Nabi atau secara bersahaja, tetapi kerana fikiran dan jiwa mereka sudah terpaut dengan kaum kafir atau budaya tertentu. Syarak tidak mengiktiraf perlakuan begini.

"Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia tergolong di dalam kaum itu." (HR Abu Daud)

-----------
2. Masalah tidak sampai air ke anggota wuduk dan hadas.
Para ulamak telah ijmak mengatakan wajib menyampaikan air ke tubuh badan samada mandi atau wuduk, kecuali ketika darurat. Sebab itulah kita diperintahkan supaya menyelat-nyelati jari dan menggerak-gerakkan cincin agar air dapat sampai ke kulit. Dalilnya ialah hadis riwayat al-Khamsan dan disahihkan oleh al-Tarmizi dari Laqith bin Shabrah. Dan hadis riwayat Ibnu Majah dan al-Daruquthni dari Abu Rafi' dengan sanad Dha'if.
(Lihat Ahsanul Kalam fil Fatawa Wal Ahkam, vol 1, hal. 57-58)

------------------------
Kembali kepada soalan: Apakah pewarna dari syarikat tertentu yang ada tanda halal boleh digunakan?
Jawapan secara umumnya adalah berdasarkan kepada dua penjelasan di atas. Ia boleh digunakan jika produk berkenaan:
1. Bebas dari najis.
2. Tidak menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi hadas.

Masalah ini samalah dengan masalah pewarna kuku. Islam membenarkannya tetapi bahan yang digunakan mestilah menepati ciri-ciri di atas.(ibid)

Dan, jelaslah di sini, bukan perbuatan mewarna itu yang diharamkan tetapi bahan yang digunakan. Kerana ia membabitkan sah atau tidaknya pengangkatan hadas besar dan kecil. Melainkan jika seseorang itu selepas memakainya tidak berhadas langsung samada besar ataupun kecil.

------------
Untuk mengetahui samada bahan berkenaan menghalang air ataupun tidak, kami kira tidak susah. Jika ia berfungsi seperti inai atau za'faran atau kunyit, maka tidak mengapa. Jika ia sebagaimana minyak hitam (motor dsbnya), cat dsbnya, sudah tentu ia menghalang air.

BUNYI SUARA KUBUR DARI TANAH PALSU

Assalamualaikum wbt, adakah anda pernah terbaca atau menonton di Youtube mengenai penemuan saintis Rusia tentang suara siksaan kubur dari dalam tanah? Penemuan suara itu ditemui ketika kajian di lapisan bawah bumi menggunakan supermicrophone. Pasti ramai yang mempercayainya kerana itu adalah suatu yang positif dan baik. Namun mereka tidak sedar bahawa ianya amat berbahaya kepada akidah kerana mempercayainya.

Secara faktanya, suara dari kubur tidak mungkin akan didengari oleh kita. Dalilnya ialah:


"Ketika orang yang derhaka kepada Allah tidak dapat menjawab pertanyaan malaikat, lalu ia dipukul dengan cemeti besi, hingga ia menjerit dengan teriakan yang sangat keras, didengar oleh semua makhluk Allah, KECUALI JIN DAN MANUSIA" (HR Bukhari, Muslim)

Ini adalah hadith yang membuktikan bahawa kita pasti tidak akan mendengar suara siksaan kubur. Namun masih ada lagi orang Melayu yang degil berkata demikian:

"kalau Allah nak jadikan manusia dengar, itu hak Allah. Mungkin boleh berlaku dengan izin Allah"

Saya akan menjawab memang Allah berhak mengubah hukumnya. Namun kita sekarang dalam kondisi untuk memutuskan suara kubur itu wajar dipercayai atau tidak. Oleh kerana dalil yang mempertahan untuk percaya adalah tiada manakala dalil yang membawa kepada tidak percaya itu adalah suara kubur lebih kuat, apa lagi perlu difikir?? Takkan nak ajar cara mempertimbangkan logik atau tidak?

Umat Islam Melayu perlulah membuat satu anjakan paradigma tentang Islam sebenar. Janganlah jadikan Islam ditertawa dan mudah diserang akidahnya.



RUANGAN DEBAT ILMIAH

http://www.meebo.com/rooms